Wednesday, June 02, 2010

Masalah Perundangan Berkaitan Tanah

Dalam beberapa minggu kebelakangan ni, kami rasa agak tertekan... Bayangkanlah bila mana anda telah tinggal di rumah yang anda telah beli, dibayar dengan titik peluh sendiri, tiba-tiba datang seseorang mengatakan yang tanah itu masih miliknya dan rumah yang kami beli dibina atas tanahnya tanpa kebenaran. Bagaimana mungkin boleh tanpa kebenaran bila ada perjanjian jualbeli bagi tanah tersebut? Kenapa setelah 6 tahun baru kata tak beri kebenaran? Kenapa boleh dikata penipuan sedangkan dia sendiri turunkan tandatangannya?

Walau macam mana sekali pun, kami akan tetap mempertahankan hak kami...

Begitulah dunia... kadang kala kita didatangkan dengan cubaan yang sedikit untuk memberikan peringatan bahawasanya apa yang kita ada di dunia ini semua milik Allah SWT... kerana itu doa selepas tasyahud akhir mungkin berkaitan di mana dalam doa itu kita memohon perlindunganNya dari fitnah kehidupan...

"Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian dan aku berlindung denganMu daripada Al-Masih Dajjal".

Monday, February 01, 2010

Pemergian Allahyarham Amirudin Sarni


29012010 Jam 6.50 pm, adinda tersayang, Amirudin Sarni telah dipanggil menghadap Allah SWT. Arwah terlibat dengan kemalangan jalan raya di susur keluar ke Setia Alam di lebuhraya NKVE. Motorsikal yang beliau naiki telah melanggar belakang lori berhenti yang tidak ditandakan. Waktu kejadian, ada saksi yang mengatakan hujan begitu lebat. Begitulah kehendak Allah SWT. Apabila telah sampai masanya ajal manusia ini, akan diturunkan asbab. Bila arwah sudah pergi, barulah kita perasan akan perubahan arwah. Alhamdulillah, perubahan arwah sangat baik. 100 hari terakhirnya arwah begitu mendekatkan diri dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosanya. Mudah-mudahan segala amalan baiknya itu akan memberatkan timbangannya di masyhar nanti. Mudah-mudahan juga amalan itu akan menerangkan alam kubur dan diberikan Allah pengampunan dan dilepaskan dari siksaan kubur. Semoga Allah SWT akan menempatkan allhyarham di kalangan umat yang dapat minum dari telaga kausar dan memperoleh syafaat Nabi Muhammad SAW. Insya allah, kami sekeluarga akan cuba membela nasib isterinya serta Syareez yang berumur 2+ tahun. Begitu juga anak yang di dalam kandungan. Sememangnya ajal tetap akan datang, tidak lewat mahupun awal barang sesaat. Ya Allah! Limpahilah keampunanmu, izinkanlah naunganMu dan masuklah arwah ke dalam syurga. Al Fatihah.